Thursday, December 24, 2020

Sos Lada Hitam (black pepper)


Bahan-bahannya:

2 sudu makan butter
2 sudu 
makan tepung gandum
1 biji bawang holland dipotong dadu
2 biji tomato dipotong dadu
1 cawan susu segar
1 cawan air
3 sudu 
makan sos tomato
3 sudu 
makan sos tiram
2 sudu 
makan kicap manis
1 sudu 
makan lada hitam ditumbuk kasar
2 kiub pati ayam (atau 1 kiub pati daging dan 1 kiub pati ayam)
1 sudu 
makan gula


Cara Penyediaan:

1. Panaskan periuk dengan api yang sederhana. Masukkan butter dan tumis bawang hingga layu.

2. Kemudian masukkan tepung gandum. Kacau rata hingga berubah warna menjadi sedikit keperangan. Masukkan tomato dan kacau hingga layu.

3. Masukkan susu segar, air, sos tomato, sos tiram, kicap manis, lada hitam, kiub ayam serta gula. Kacau rata hingga mendidih dan jangan sampai berketul.

4. Tutup api dan biarkan sejuk sedikit. Masukkan ke dalam blender dan blend hingga halus. Siap untuk dihidangkan!

Catatan: gunakan sudu dan cawan sukatan yang standard dan biasa digunakan dalam menyukat bahan.

Sos lada hitam ini sedap di makan bersama chicken chop, kambing panggang/bakar, meatball juga dengan mashed potato. Boleh juga ditambah dengan hirisan cendawan.

Thursday, November 19, 2020

Kaswi Pandan


Bahan-bahannya:
(loyang saiz 8 inci bulat)

1 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung ubi
1 cawan santan kelapa
1/2 cawan air pandan
3/4 cawan gula
1/2 sudu teh air kapur makan
sedikit pewarna hijau

Cara mengadun:
1. Satukan semua bahan dalam satu bekas dan kacau sehingga gula larut dan tiada lagi ketulan-ketulan tepung yang tidak larut sepenuhnya.

2. Tapis dan masukkan dalam loyang yang telah dilapik dengan plastik. 

3. Kukus sehingga masak (lebih kurang 40 minit). Buka penutup kukusan dan kukus lagi selama 5 - 10 minit. Ini bertujuan untuk mengeringkan air atas permukaan kuih. 

4. Sejukkan kuih dahulu baru di potong.

Sunday, November 8, 2020

Bingka Ubi

 

Bahan-bahannya:
(loyang 7" empat segi)

4 cawan parutan ubi kayu
2 cawan santan 
1 cawan gula pasir
½ sudu teh garam
Sedikit pewarna kuning


Cara mengadun:
1. Satukan semua bahan dan gaul rata sehingga gula larut. Masukkan dalam loyang dan bakar dalam oven dengan suhu 200C.

2. Bakar lebih kurang 1 jam atau sehingga masak.

(*Jika ingin atas kuih berwarna keperangan apabila masak, tukar suhu oven. Gunakan api (grill) atas sahaja.)

Saturday, November 7, 2020

Talam Ubi Kayu


Bahan-bahannya:
(loyang 7" bulat)

2 cawan ubi parut - perah/buang airnya.
1 cawan air gula merah
2 sudu gula pasir
1 cawan santan

Bahagian atas/putih:
2 cawan santan
3/4 cawan tepung gandum
2 sudu tepung beras
1 sudu teh garam

Cara mengadun:
1. Satukan semua bahan dan kacau gaul biar sebati dan gula pasir melarut. Masukkan dalam loyang dan kukus hingga masak.

2. Sementara itu, satukan semua bahan untuk bahagian atas. Gaul rata dan tapis agar tidak ada adunan yang bergentel.

3. Tuangkan atas adunan ubi tadi dan kukus hingga masak. Buka tutup kukusan dan biarkan kuih di atas pengukus untuk beberapa ketika. Ini bertujuan untuk mengeringkan air atas permukaan kuih atau boleh juga dilap perlahan-lahan dengan tisu dapur.



Friday, October 23, 2020

Kuih Bakar Bijan


Bahan-bahannya:
(saiz loyang 8 x 3 in)

4 biji telur
2 cawan Santan
7 helai daun pandan
1 cawan air
1 1/2cawan gula
1 1/2 cawan tepung gandum
Secubit garam dan sedikit bijan

Cara mengadun:
1. Kisar daun pandan dengan air dan tapis. Satukan semua bahan yang lain... adun rata sehingga tepung serta gula larut dan tiada lagi adunan yang bergentel. Tapis lagi sekali.

2. Sapu sedikit minyak pada acuan. Tuangkan adunan ke dalam acuan... tabur bijan di atasnya.

3. Bakar dalam suhu 180C selama 35 mini.

Thursday, October 15, 2020

Kuih Lapis

 

Bahan-bahannya:
2 cawan tepung beras cap teratai
1 1/3 cawan gula pasir
1/2 cawan tepung ubi
1/2 cawan tepung gandum
1/2 cawan air daun pandan
2 cawan santan
2 cawan air
secubit garam
(jika menggunakan santan kotak, masukkan 2 sudu minyak makan)

Cara mengadun:
1. Satukan semua bahan dalam mangkuk, gaul rata dan sebati. Kemudian tapis untuk mengasingkan jika terdapat ketulan-ketulan tepung yang tidak larut.

2. Bahagikan adunan kepada dua bahagian dan letakkan warna yang di sukai. Saya letak warna merah dan hijau.

3. Didihkan air dalam kukusan. 

Cara mengalas: Sapukan sedikit minyak pada loyang dan alas dengan plastik.

4. Sukat 3/4 cawan adunan hijau ke dalam loyang dan kukus selama 5 minit. Selepas 5 minit tuangkan 3/4 adunan merah di atas adunan hijau. Kukus lagi 5 minit. Selepas lima minit ulangi proses ini berselang seli sehingga semua adunan habis dan kukus hingga masak.

Monday, October 12, 2020

Kuih Cara Berlauk


(A) - Bahan untuk inti:
400 gm isi ayam/daging cincang
25 gm rempah kari daging
25 gm kiub ayam/daging
125 gm gula
125 gm /1 setengah biji bawang besar (dicincang)
175 ml air
25 ml minyak masak
seinci kulit kayu manis dan sekuntum bunga lawang

Cara memasak inti:
1. Panaskan minyak. Tumis bawang, kulit kayu manis dan bunga lawang hingga baik bau.

2. Masukkan rempah kari dan air. Kacau biar bergaul rata. Apabila menggelegak masukkan kiub ayam/daging dan gula.

3. Setelah gula cair, masukkan ayam/daging cincang dan masak selama 30 minit untuk mengeringkan air.


(B) - Bahan untuk adunan tepung:
350 gm tepung gandum (350)
100 ml santan pekat
700 ml air
2 tsp garam halus
1 biji telur
Sedikit pewarna kuning

(C) - Hiasan
Daun sup (hiris)
Cili merah (belah dua, buang biji dan hiris nipis)

Cara bancuhan: Satukan semua bahan dalam mangkuk pengadun dan gaul semuanya agar sebati. Boleh juga digaul menggunakan blender.

1. Panaskan acuan. Sapu dengan sedikit minyak menggunakan berus pandan (daun pandan yang diikat).

2. Tuangkan adunan ke dalam acuan sehingga penuh. Kemudian letakkan inti di atasnya dan taburkan dengan daun sup dan cili yang telah di hiris. Tutup acuan dan biarkan kuih masak. Ulangi proses ini sehingga semua adunan habis.

Sunday, September 13, 2020

Donut


Bahan-bahannya:

(A)
2 1/2 cawan air suam
2 peket yis
5 sudu makan air gula
5 sudu makan susu pekat manis

(B)
1 kg tepung
5 sudu makan marjerin
4 sudu teh serbuk penaik (barking powder)
2 sudu teh garam halus


Cara penyediaan:
1. Campurkan bahan A dalam satu bekas. Kacau dan biarkan kembang.

2. Sementara menunggu yis kembang satukan bahan B.

3. Masukkan larutan yis yang telah kembang ke dalam adunan bahan B. Uli lebih kurang 5-10 minit hingga doh licin dan cantik. Tutup dan biarkan lebih kurang 30 minit (kalau mahukan donut yang cantik gebu uli lama sikit)

4. Bila doh mengembang dua kali ganda... tumbuk doh untuk mengeluarkan angin.

5. Tabur sedikit tepung pada bahagian atas dan bawah doh dan canai. Ketebalannya ikut citarasa sendiri dan terap dengan acuan donut. Rehatkan sekejap baru goreng dalam minyak yang banyak dan api yang perlahan.

Saturday, September 12, 2020

Apam Labu Kuning




Bahan A:
1 sudu kecil yis segera
1 sudu kecil gula kaster
3 sudu besar air suam

Bahan B:
230 gm labu di rebus/kukus
150 gm gula
1 biji telur
150 ml santan pekat

Bahan C:
(ayak bersama)
200 gm tepung gandum
1 1/2 sudu kecil barking powder


Cara penyediaan:
1. Satukan bahan A dalam mangkuk kecil/mug. Ketepikan dan biarkan ia kembang/naik

2. Kisar/blend bahan B hingga sebati. Tuang dalam mangkuk besar.

3. Masukkan bahan C sedikit demi sedikit ke dalam B... dan gaul agar sekata.

4. Masukkan bahan A ke dalam adunan dan gaul rata. Tutup dan biarkan selama sejam supaya adunan naik.

5. Oles acuan dengan minyak dan tuang adunan ke dalam acuan. Jika guna acuan cawan tuang anggaran 3/4 isi cawan.

Kukus selama 10 - 15 minit. Gunakan api perlahan supaya kueh tidak merekah di atasnya. Apabila masak gaulkan dengan kelapa parut yang telah di kukus sebentar dengan sedikit garam.

Thursday, September 10, 2020

Kuih Seri Muka


Bahan Lapisan Bawah:
(loyang saiz 10 x 10 in)

500 gm beras pulut susu
300 ml santan kotak (utk dptkan sukatan ini boleh campurkan 200 ml santan kotak dengan 100 ml air)
2 sudu kecil garam halus
1 sudu makan minyak masak
300 ml air

Cara penyediaan:
1. Rendam pulut anggaran 15 minit. Kemudian basuh bersih dan toskan.

2. Gaulkan dengan semua bahan-bahan dan kukus selama 30 minit. Apabila masak ratakan dalam loyang yang telah di alas dengan plastik dan tekan pulut dengan sudu supaya padat.

Bahan lapis atas:

(A)
250 gm gula halus
100 gm tepung kastard
2 sudu makan penuh tepung gandum
400 ml santan pekat (santan kotak)
400 ml air untuk dikisar dengan 5 helai daun pandan

(B)
2 biji telur
Sedikit garam halus
Pewarna hijau

Cara penyediaan:

1. Gaul semua bahan A dan masukkan bahan B. Kacau hingga sebati.

2. Tapis ke dalam periuk dan kacau atas api (lebih kurang 2 - 3 minit agak-agak nampak sedikit pekat.)

3. Kemudian tuangkan atas lapisan bawah dan kukus selama 30 - 40 minit.

4. Supaya nampak cantik... apabila kuih benar-benar sejuk barulah dipotong dengan pisau plastik.


Thursday, August 27, 2020

Talam Cendol



Bahan-bahannya:

A. Lapisan bawah:

220 gm tepung beras
25 gm tepung ubi
25 gm tepung jagung
300 ml santan pekat
700 ml air
1 1/2 sudu teh garam halus
150 gm cendol

Cara mengadun A:
Campurkan ke semua bahan kecuali cendol dan tapis. Kacau sebati atas api hingga likat. Kemudian masukkan cendol dan tuang ke dalam loyang. Kukus 15 minit.


B. Lapisan tengah:

60 gm tepung gandum
10 gm tepung jagung
100 gm gula
100 ml santan pekat
1 biji telur gred C/D
1/4 sudu teh garam
1/4 pewarna hijau epal

Cara mengadun B:
Campurkan semua bahan dan tapis. Kacau sebati atas api hingga likat. Tuangkan atas A dan kukus selama 15 minit.


C. Lapisan atas:

50 gm tepung gandum
10 gm tepung jagung
30 gm gula
100 ml santan pekat
150 ml air
120 gm gula merah
1 biji telur gred C/D
1/2 sudu teh garam halus

Cara mengadun:
Campurkan semua bahan dan tapis. Kacau sebati atas api hingga likat. Tuangkan atas B dan kukus selama 15 minit.


Setelah kuih masak, buka penutup kukusan dan biarkan kuih di atas kukusan selama 1-2 minit. Tujuannya untuk mengeringkan lebihan air yang ada atas pemukaan kuih kering.

Apabila masak, sejukkan dulu kuih baru potong dengan pisau plastik.

Wednesday, August 19, 2020

Apam Tepung Beras

 


Bahan-bahannya:

2 cawan tepung gandum
1 cawan tepung beras
1 cawan gula pasir
1 peket (11 gm) yis kering
2 cawan air sejuk
secubit garam
Kelapa parut

Cara mengadun:

1. Satukan semua bahan... gaul dan adun rata. Kemudian perap lebih kurang 30 minit. Jika suka bahagikan adunan kepada beberapa bahagian dan letak pewarna.

2. Panaskan periuk pengukus. Oles acuan dengan minyak masak. Tuang 3/4 cawan adunan ke dalam acuan dan kukus selama 20 minit.

3. Apabila masak keluarkan dari acuan dan gaul dengan kelapa parut. Apam sedap di makan dengan kelapa parut yang telah digaul dengan sedikit garam..

Lompang

 

Bahan-bahannya:
(untuk 15 - 20 biji kuih)

Bahan A:
1/2 cawan gula merah
1/2 cawan gula pasir
2 1/2 cawan air
1 helai daun pandan

Bahan B:
1 3/4 cawan tepung beras
1/2 sudu makan membukit tepung ubi
1/2 sudu makan air kapur

Bahan C:
Kelapa parut secukupnya di gaul dengan 1/2 sudu teh garam...dan kukus sekejap. (anggaran 6 - 10 minit)


Cara mengadun:

1. Masak bahan A hingga larut... dan biarkan suam.

2. Dalam mangkuk satukan bahan B. Tuangkan bahan A yang telah suam ke dalamnya. Kacau sebati dan tapis.

3. Panaskan pengukus. Oles acuan dengan sedikit minyak kemudian kukus acuan saja lebih kurang lima minit. Tujuannya untuk membentuk lubang / lompang pada tengah kuih terbentuk.

4. Setelah acuan panas baru tuang 3/4 cawan adunan ke dalam acuan. Kukus sekitar 15 - 20 minit dengan api yang sederhana. Bila masa sejukkan dulu baru keluarkan dari acuan dan gaul dengan kelapa parut.

Tuesday, August 18, 2020

Lopes


Bahan-bahannya:
2 1/2 cwn beras pulut
1/2 cawan santan
1/2 cawan air
1/4 sudu teh garam
1/4 sudu teh kapur sireh
Sedikit pewarna hijau
1 cawan kelapa parut di gaul dengan sedikit garam

Air gula:
Seketul gula melaka
3 sudu makan gula pasir
2 helai daun pandan
1 cawan air

Cara-caranya:

1. Basuh pulut dan rendam dengan air yang telah di letakkan pewarna hijau dan kapur sireh sekurang-kurangnya 3 jam.

2. Sementara itu masak air gula hingga sedikit pekat. Tapis dan sejukkan.

3. Toskan pulut yang direndam. Letakkan dalam loyang dan masukkan santan, air dan garam. Gaulkan dan kukus selama 25 min atau sehingga masak.

4. Apabila sudah masak... gaul-gaulkan pulut agar rasa santannya sebati dan kemudian tekan hingga padat dalam loyang. Biarkan sejuk barulah di potong dan gaulkan dengan kelapa parut.

Monday, August 17, 2020

Kosui

Dalam bancuhan kuih kosui dan lompang penggunaan air kapur memang tidak dapat di pisahkan. Air kapur akan membuatkan kuih jadi kental. Tapi jika terlebih penggunaannya akan membuatkan kuih jadi rasa pahit.

Bahan-bahan:
2 cwn tepung gandum
1/2 cwn tepung ubi
1 3/4 cwn gula merah (atau 1 cwn gula merah + 3/4 cwn gula pasir perang)
5 cwn air sejuk (2 cawan untuk di masak dgn air gula)
3/4 sudu teh kapur sireh (bancuh dengan 3 sudu makan air sejuk)

Cara mengadun:

1. Panaskan 2 cawan air. Masukkan gula... biarkan ia melarut dan sejukkan.

2. Satukan semua bahan kecuali air kapur. Gaul dan kacau sebati.

3. Masukkan air kapur... kacau dan sebatikan dengan adunan. Tapis adunan supaya tiada adunan yang bergentel atau tepung yang tidak larut.

4. Didihkan air dalam pengukus. Oles acuan dengan sedikit minyak di dasar dan sekeliling bahagian dalam acuan. Tuangkan adunan dan kukus selama 40 minit.

5. Sejukkan dahulu kuih barulah di potong. Gaul dengan kelapa parut yang telah di gaul dengan sedikit garam.